Pembentung Baharu Atasi Masalah Takungan Air di Kampung Tutus Hilir
MUKAH: Isu takungan air yang sekian lama membelenggu penduduk Kampung Tutus Hilir kini berjaya diatasi menerusi siapnya projek pembinaan pembetung baharu yang memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Projek bernilai RM95,000 itu telah disiapkan lebih awal daripada jadual oleh kontraktor yang dilantik, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan asas rakyat luar bandar terus diberi perhatian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pembinaan pembetung dan sistem perparitan tersebut merupakan antara inisiatif penting bagi menangani masalah aliran air yang tidak lancar di kawasan berkenaan.
“Pembinaan pembetung dan sistem parit ini bertujuan melancarkan aliran air serta mengurangkan masalah air bertakung yang dihadapi penduduk sejak sekian lama.
“Dengan adanya kemudahan ini, aliran air menjadi lebih baik dan keadaan persekitaran kampung lebih selesa serta selamat untuk penduduk,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Bina Baharu Culvert Jalan Kampung Tutus Hilir pada Khamis.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada kontraktor, Bina Sama Enterprise atas kecekapan menyiapkan projek tersebut lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Tutus Hilir, Zafarin Bohari menzahirkan rasa syukur dan penghargaan pihak penduduk terhadap pelaksanaan projek yang telah lama dinantikan itu.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana projek yang amat diperlukan oleh penduduk akhirnya berjaya disiapkan kerana kawasan ini sering mengalami masalah air bertakung yang menyebabkan penduduk berasa kurang selesa.
“Kami amat berterima kasih kepada Yb Abdul Yakub kerana meluluskan projek ini dan diharapkan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan pada masa akan datang demi manfaat dan kesejahteraan penduduk kampung,” ujarnya.
Hadir sama wakil agensi pelaksana JKR Bahagian Mukah, Yazid Mustaba, wakil Pejabat Daerah Mukah, Nur Hidayah Kasim serta wakil kontraktor Bina Sama Enterprise.-EDISI UKAS