Mesyuarat Khas DAC Simunjan Perkukuh Pemantauan Projek Pembangunan Daerah
SIMUNJAN: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tindakan Daerah (DAC) Simunjan menjadi platform penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan serta perkembangan pelbagai projek pembangunan di daerah ini.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata mesyuarat tersebut diadakan sebagai susulan kepada mesyuarat pembangunan yang telah berlangsung di peringkat Bahagian Samarahan sebelum ini.
Menurut beliau, berbeza dengan mesyuarat di peringkat bahagian yang bersifat lebih umum, mesyuarat khas DAC Simunjan memberi ruang kepada perbincangan yang lebih terperinci dan tertumpu kepada isu-isu setempat.
“Kita mengambil kesempatan dalam mesyuarat ini untuk memberi fokus kepada daerah Simunjan supaya perbincangan mengenai perkembangan projek daripada pelbagai agensi dapat dilakukan dengan lebih terperinci,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Simunjan, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan aspek kecekapan pengurusan mesyuarat dengan meminta semua agensi pelaksana menyampaikan pembentangan yang ringkas, padat dan berfokus.
Katanya, perhatian utama perlu diberikan kepada projek yang menghadapi masalah, memerlukan keputusan segera atau memerlukan pandangan daripada ahli mesyuarat bagi membolehkan penyelesaian dicapai dengan lebih pantas.
“Fokuskan kepada projek yang bermasalah atau memerlukan keputusan serta pandangan daripada mesyuarat. Bagi projek yang berjalan lancar, pembentangan secara ringkas sudah memadai kecuali jika terdapat soalan lanjut,” tegas beliau.
Hadir sama, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Rafendy Ariffe. -EDISI UKAS