Empat Projek Perintis Diperkenalkan, Pacu Transformasi Bintulu-Samalaju Ke Arah Hab Industri Hijau Asia
KUCHING: Sarawak bakal melaksanakan empat projek perintis utama tahun ini bagi mempercepatkan transformasi Koridor Industri Bintulu-Samalaju menjadi hab industri rendah karbon yang lebih berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) Bintulu akan menjadi platform bersepadu yang menghimpunkan industri, kerajaan, rakan teknologi dan institusi kewangan di bawah satu kerangka tindakan bersama bagi mempercepatkan transformasi industri di koridor berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif tersebut juga menjadi antara pemangkin utama kepada pelaksanaan Strategi dan Pelan Karbon Sifar Bersih Sarawak yang sedang dimuktamadkan bagi memandu hala tuju penyahkarbonan negeri secara menyeluruh.
“Bagi menterjemahkan aspirasi kepada pelaksanaan yang nyata, kami telah mengenal pasti empat projek perintis yang akan dimulakan pada tahun ini di mana projek pertama akan memberi tumpuan kepada Operasi Pembuatan Pintar dengan memanfaatkan teknologi digital, kesalinghubungan dan pengoptimuman berasaskan data bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan industri di seluruh koridor pembangunan.
“Projek kedua ialah Hab CCU-H2 Sarawak yang akan meneroka kaedah penggunaan karbon secara berskala besar serta pengeluaran hidrogen untuk memperkukuh daya maju komersial kedua-dua industri tersebut sambil mempercepat usaha penyahkarbonan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Pelancaran TIC Bintulu: Kluster Pertama Malaysia di bawah Forum Ekonomi Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Sementara itu, projek ketiga katanya memberi tumpuan kepada ‘Industrial Symbiosis’, iaitu pendekatan yang membolehkan syarikat berkongsi sumber, memanfaatkan sisa industri sebagai input baharu dan meningkatkan kecekapan melalui ekosistem ekonomi kitaran yang lebih mampan.
Dalam masa sama jelasnya, projek keempat dikenali sebagai ‘Bintulu TIC Talent Initiative’, yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri masa depan, termasuk sektor digital, teknologi baharu dan industri rendah karbon.
“Kerana infrastruktur dan teknologi sahaja tidak mampu mengubah ekonomi tetapi manusialah yang melakukannya,” ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, Premier Sarawak memberitahu keempat-empat projek perintis tersebut akan menjadi asas kepada transformasi jangka panjang yang bakal mengangkat Koridor Bintulu-Samalaju sebagai antara ekosistem industri rendah karbon paling kompetitif di rantau Asia. -EDISI UKAS