Kerjasama Strategik Poland-Sarawak Perkukuh Potensi Transisi Tenaga Serantau
KUCHING: Kerjasama strategik antara Poland dan Sarawak akan memperkukuhkan lagi potensi transisi tenaga serantau susulan lawatan kerja mereka ke negeri ini yang bertujuan meneliti secara langsung pelaksanaan teknologi tenaga bersih.
Timbalan Presiden Parlimen Wilayah Wielkopolska, Henryk Marek Drzewiecki berkata, delegasi beliau yang terdiri daripada wakil industri, pihak berkuasa tempatan serta pakar akademik berkunjung ke Sarawak untuk meneroka peluang penting untuk memahami pendekatan negeri ini dalam membangunkan ekosistem hidrogen hijau secara menyeluruh.
Katanya, Poland sedang giat membangunkan teknologi hidrogen hijau dan berada pada tahap kemajuan tertentu dalam agenda tenaga bersih negara tersebut.
“Oleh itu, kami telah memutuskan untuk datang ke Sarawak bagi melihat bagaimana Sarawak melaksanakan hidrogen hijau serta teknologi yang digunakan dan bagaimana ia diterapkan dalam ekonomi yang lebih luas di rantau ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran TIC Bintulu: Kluster Pertama Malaysia di bawah Forum Ekonomi Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Terdahulu pada Selasa, beliau bersama rombongan turut membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi membincangkan secara terperinci hubungan kerjasama ini.
Malah dedahnya, perbincangan awal antara pakar akademik dari Poland dan universiti di Sarawak telah pun bermula sekaligus membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan pada peringkat saintifik sebagai langkah awal hubungan dua hala.
Mengulas potensi pembangunan Sarawak di bawah Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) di Bintulu, Henryk menyambut baik aspirasi negeri ini yang disifatkan sebagai progresif dan berani dalam mempercepatkan transformasi industri.
Jelasnya, pembangunan kluster industri perlu dilaksanakan dengan pantas dan dinamik bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama global dalam projek berimpak tinggi. -EDISI UKAS