Konvensyen Graduan Melayu Sarawak Platform Perkukuh Perpaduan, Fokus Pembangunan Pendidikan
KUCHING: Konvensyen Graduan Melayu Sarawak yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat serta membincangkan hala tuju pembangunan pendidikan dan modal insan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penganjuran konvensyen seumpama itu amat signifikan dalam memperkasa komuniti Melayu Sarawak yang bukan merupakan kelompok majoriti, sekali gus memastikan suara dan kepentingan mereka terus diberi perhatian.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan di Sarawak tidak harus dipengaruhi sentimen perkauman yang boleh menggugat keharmonian serta kestabilan politik negeri.
“Sentimen perkauman mudah membangkitkan emosi, namun kesannya boleh menjejaskan kestabilan dan perpaduan yang kita nikmati hari ini.
“Sarawak perlu terus menjauhkan diri daripada politik berasaskan kaum demi masa depan yang lebih mampan,” katanya ketika berucap merasmikan konvensyen tersebut pada Khamis.
Tambah beliau, kestabilan politik dan perpaduan rakyat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan Sarawak mencapai tahap pengurusan kewangan yang kukuh, sekali gus membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk pendidikan percuma.
Beliau menegaskan bahawa keupayaan menyediakan pendidikan percuma adalah hasil daripada pengurusan ekonomi yang berkesan serta lebihan hasil negeri yang dikembalikan semula kepada rakyat.
“Kerajaan yang mempunyai lebihan pendapatan harus memulangkannya kepada rakyat, dan pendidikan percuma adalah antara bentuk terbaik pelaburan untuk masa depan anak-anak Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai keperluan masa depan tanpa meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, penguasaan Bahasa Inggeris memberi kelebihan daya saing dalam pasaran pekerjaan, justeru usaha memperkukuh kemahiran bahasa tersebut perlu dipergiatkan secara seimbang.
Konvensyen tersebut turut menghimpunkan graduan dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan, pembangunan bakat serta peranan generasi muda dalam memacu kemajuan Sarawak.-EDISI UKAS