Program Asasi UNIMAS Sesi 2026/2027 Jadi Pilihan Landasan Menara Gading
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini membuka lembaran baharu bagi kalendar akademik menerusi pengambilan pelajar bagi Program Asasi UNIMAS Sesi 2026/2027.
Dikendalikan oleh Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) UNIMAS, program ini menawarkan beberapa aliran strategik termasuk Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Pengkomputeran, serta Program International Foundation in Science.
Seorang penuntut baharu dari Miri, Esmeralda, 18, berkongsi cerita bahawa program Asasi Sains Hayat UNIMAS merupakan pilihan kedua beliau selepas Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Walaupun pada mulanya saya merasakan Kuching agak jauh dari kampung halaman di Miri, saya melihat perkara ini dari sudut positif. Ini adalah peluang keemasan untuk saya berdikari dan meneroka bumi Kuching dengan lebih mendalam lagi sepanjang tempoh pengajian di sini," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, bagi penuntut program Asasi Sains Hayat, Izzat Syamani Suliaman, 17, yang berasal dari Kuala Lumpur, pemilihan ke UNIMAS dianggap sebagai satu langkah besar buat dirinya keluar daripada zon selesa demi menimba pengalaman baharu.
“Pengalaman baharu di bumi Kenyalang ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk belajar berdikari dan mengenali keunikan budaya masyarakat di sini dengan lebih dekat," katanya.
Tambah Izzat lagi, dorongan dan nasihat daripada keluarga yang memintanya untuk sentiasa melakukan yang terbaik menjadi azimat utama buat dirinya menempuh alam kampus dengan penuh keyakinan.
Sehubungan dengan itu, bagi ibu bapa, reputasi akademik yang cemerlang, fasiliti kondusif serta persekitaran kampus yang selamat menjadi faktor utama mereka memilih UNIMAS demi masa depan anak-anak.
Norliza Abdullah, 56, yang bekerja sebagai perunding, menyifatkan UNIMAS sebagai destinasi pendidikan terbaik bersandarkan penawaran program akademik yang menarik dan relevan dengan industri masa kini.
“Kolaborasi strategik antara pihak universiti dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam bidang tenaga diperbaharui jelas membuktikan komitmen tinggi dalam melonjakkan kualiti pendidikan tinggi di wilayah ini,” katanya.
Pengambilan bagi sesi kali ini sekali lagi membuktikan peranan strategik UNIMAS dalam mendukung hasrat Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan akses pendidikan tinggi yang berkualiti. -EDISI UKAS