20 Pusat Pengambilan Air Disediakan Bantu Penduduk Hadapi Gangguan Bekalan Di Miri
MIRI: Sebanyak 20 pusat pengambilan air telah disediakan di beberapa lokasi strategik di sekitar Miri bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual terus mendapat akses kepada bekalan air untuk kegunaan harian.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata penyediaan pusat pengambilan air tersebut merupakan langkah segera bagi membantu penduduk sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang sedang berlangsung.
Menurut beliau, lokasi-lokasi berkenaan dipilih berdasarkan kepadatan penduduk dan kemudahan akses, melibatkan kawasan perumahan, rumah ibadat, pusat komersial serta lokasi tumpuan awam.
“Pagi ini saya telah meninjau beberapa lokasi tangki air di Assar Commercial Centre, Milea Residence Eastwood Area 2, Desa Murni Permyjaya dan Tudan bagi memastikan kemudahan yang disediakan mencukupi serta memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air,” katanya semasa melakukan tinjauan ke beberapa pusat pengambilan air di sekitar Permyjaya, Senadin dan Tudan pada Rabu.
Beliau berkata pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan semua pusat pengambilan air beroperasi dengan baik dan mampu memenuhi keperluan penduduk sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memudahkan proses pengambilan air, termasuk pemasangan hos pada paip saluran air di tangki-tangki yang disediakan.
Menurut beliau, langkah tersebut dapat mempercepat proses pengisian air ke dalam tong atau bekas bersaiz besar selain mengurangkan risiko pembaziran.
“Kadang-kadang orang datang mengambil air menggunakan botol dan tong besar. Saya cadangkan supaya paip dipasang hos agar air dapat disalurkan terus ke dalam bekas dengan lebih mudah dan tidak berlaku pembaziran,” ujarnya.
Tambah beliau, kemudahan tersebut juga akan memberi manfaat kepada warga emas dan golongan yang memerlukan bantuan ketika mendapatkan bekalan air.
Beliau berharap semua pusat pengambilan air yang disediakan dapat membantu melancarkan pengagihan bekalan kepada penduduk serta memastikan keperluan asas harian masyarakat terus terpelihara sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
Antara lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat pengambilan air ialah Masjid Darul Ehsan Piasau, Kompaun Stadium Tertutup Miri, Masjid Al Naim Lutong, Everwin Supermarket Senadin, Desa Pujut 1 dan Desa Pujut 2 Permyjaya, Tudan, Masjid Nurul Jamilun Subhi Pujut Adong, Kampung Masjid Kuala Baram, Masjid Kampung Muhibbah Kuala Baram, Kompleks Imigresen Sungai Tujuh, Masjid Pulau Melayu, Taman Bayshore, Surau Al Hidayah Tab Cinag, Pujut 7 Commercial Centre, Masjid Piasau Utara, Masjid Pujut Padang Kerbau, Methodist Hope Centre Jee Foh 8 dan Taman Vista Perdana.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menggunakan bekalan air yang disediakan secara berhemah supaya kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan secara adil oleh semua penduduk yang terjejas.-EDISI UKAS