Projek RTP Atasi Masalah Banjir Kilat Di Kampung Sealine Atas
MIRI: Masalah banjir kilat dan sistem perparitan yang tidak lagi mampu menampung aliran air di Kampung Sealine Atas, Lutong kini ditangani menerusi pelaksanaan projek naik taraf saliran bernilai RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata projek yang telah siap sepenuhnya itu dilaksanakan bagi mengatasi isu saliran tersumbat, aliran air tidak lancar serta risiko banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk ketika hujan lebat.
Menurut beliau, projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menaik taraf infrastruktur asas bagi meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.
“Kami memohon peruntukan RTP 2026 ini bagi menangani masalah perparitan yang telah lama dihadapi penduduk setempat, termasuk isu aliran air yang tidak lancar dan parit yang tersumbat.
“Projek ini akan membantu meningkatkan persekitaran tempat tinggal serta keselamatan awam penduduk,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek di Kampung Sealine Atas pada Rabu.
Datuk Sebastian Ting berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan sistem saliran konkrit bertetulang (reinforced concrete drainage), culvert jalan konkrit, laluan masuk ke kediaman penduduk serta kerja-kerja pembersihan dan pendalaman parit sedia ada.
Selain itu, dua unit culvert konkrit bertetulang turut dibina bersama pemasangan cerucuk konkrit bertetulang bagi memperkukuh struktur saliran dan meningkatkan keupayaan sistem perparitan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, sistem perparitan sepanjang kira-kira 272 meter turut dibersihkan, dinyahkelodak dan diperdalam bagi meningkatkan kapasiti aliran air serta mengurangkan risiko takungan air ketika hujan lebat.
Katanya, Kampung Sealine Atas merupakan antara kawasan penempatan lama di Lutong yang memerlukan penambahbaikan infrastruktur secara berperingkat berikutan kemudahan saliran sedia ada tidak lagi mampu memenuhi keperluan semasa.
Beliau berharap projek yang siap dilaksanakan itu dapat memberikan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah perparitan yang dihadapi penduduk, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.-EDISI UKAS