Peranan Guru Sebagai Pembentuk Modal Insan Wajar Terus Dihargai
MERADONG: Peranan guru sebagai pemangkin utama dalam melahirkan modal insan berkualiti perlu terus dihargai kerana golongan pendidik bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah serta jati diri generasi masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, tema Hari Guru Tahun 2026, “Guru Bitara, Nadi Negara”, amat bertepatan dalam mengiktiraf sumbangan besar warga pendidik terhadap pembangunan negara.
“Sumbangan para guru mungkin tidak sentiasa mendapat perhatian, namun jasa mereka telah melahirkan ramai individu cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Oleh itu, penghargaan terhadap profesion perguruan perlu sentiasa dipupuk dan diteruskan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Jasamu Dikenang Sempena Hari Guru Tahun 2026 anjuran SJK (C) Yong Kwong, di sini, pada Khamis.
Datuk Ding turut menegaskan bahawa setiap kejayaan yang dicapai oleh seseorang individu tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan bimbingan guru yang sentiasa memberikan dorongan, tunjuk ajar serta sokongan sepanjang proses pembelajaran.
Beliau menyifatkan guru sebagai insan yang sentiasa berkorban demi memastikan anak-anak didik memperoleh pendidikan yang terbaik.
Dalam majlis tersebut, Datuk Ding turut mengumumkan sumbangan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada sekolah itu bagi menyokong aktiviti dan pembangunan sekolah.-EDISI UKAS