Kemajuan Sarawak Hasil Perancangan Strategik, Kepimpinan Kukuh
MIRI: Sarawak terus melakar pencapaian yang membanggakan menerusi pendekatan pembangunan yang strategik, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, hasil Kerajaan Sarawak mencecah kira-kira RM14 bilion pada 2024 dan kekal pada paras yang hampir sama pada 2025.
Beliau berkata, kemajuan yang dikecapi negeri ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil dasar yang jelas serta kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari, hasil negeri terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif ekonomi yang telah meningkatkan keupayaan kewangan Sarawak.
"Ia sekali gus membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat tanpa terlalu bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Ngiling Bidai Gawai 2026 Daerah Subis di sini, pada Selasa.
Datuk Gerawat menambah, pendapatan negeri yang semakin meningkat ini diterjemahkan kepada pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, bekalan air, elektrik serta pelbagai program pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Dalam pada itu, Datuk Gerawat berkata, sambutan Ngiling Bidai bukan sekadar menandakan berakhirnya musim Gawai, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian masyarakat Dayak yang perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya.
“Semangat perpaduan dan keharmonian yang dinikmati rakyat berbilang kaum di Sarawak perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada kemajuan ekonomi serta pembangunan negeri,” katanya
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Tuai Rumah Sibuti sebagai tanda penghargaan atas usaha menganjurkan Majlis Makan Malam Sempena Ngiling Bidai Gawai 2026 Daerah Subis.
Sekitar 450 tetamu dari seluruh Daerah Subis termasuk Zon Kemena, Samalaju, Saeh, Bekenu, Sibuti dan Niah hadir memeriahkan majlis.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Makan Malam Ngiling Bidai Gawai 2026 Daerah Subis iaitu Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu dan Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Sibuti, Morris Tugau dan Temenggong Iban Bahagian Miri, Boniface Bada Enjah- EDISI UKAS