Kejohanan MSS Bahagian Bintulu Jadi Platform Cungkil Bakat Atlet Muda
BINTULU: Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat atlet muda, malah berperanan membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan murid sekolah rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kejohanan seumpama itu turut menjadi platform memupuk perpaduan, persahabatan serta keyakinan diri dalam kalangan peserta dari daerah Bintulu, Tatau/Sebauh dan Belaga.
“Dalam sukan, kemenangan memang sesuatu yang membanggakan.
“Namun, nilai yang lebih besar ialah keberanian untuk mencuba, kesungguhan untuk berusaha dan semangat untuk tidak mudah berputus asa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Kejohanan Olahraga MSS Bahagian Bintulu Kali Ke-23 di sini, pda Khamis.
Ujarnya, atlet yang berjaya dipilih mewakili Bahagian Bintulu ke Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak di Samarahan perlu terus berusaha bersungguh-sungguh bagi mengharumkan nama bahagian di peringkat negeri.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, kejohanan berkenaan berlangsung dengan jayanya apabila beberapa rekod kejohanan berjaya dipecahkan, sekali gus membuktikan potensi besar atlet muda di bahagian itu.
Menurut beliau, Bahagian Bintulu turut mengekalkan prestasi cemerlang apabila konsisten berada dalam kelompok tiga terbaik pada Kejohanan MSS Sarawak sejak 2022.
“Jangan hanya bandingkan dengan tempat pertama, kedua atau ketiga.
“Fokus kepada catatan peribadi. Jika berjaya memecahkan rekod sendiri, itu sudah satu kejayaan,” katanya.
Beliau berkata, atlet yang tidak berjaya kali ini tidak seharusnya berputus asa, sebaliknya perlu terus berlatih bagi meningkatkan prestasi, sambil merakamkan penghargaan kepada guru, jurulatih, pegawai teknikal, hakim dan jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan kejohanan.
Samri turut menghargai sokongan berterusan Johnny Pang terhadap pembangunan pendidikan dan sukan di Bintulu, termasuk penyaluran hampir RM12 juta bagi pembangunan sekolah serta infrastruktur pendidikan di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.-EDISI UKAS