Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ Tingkat Kesedaran Masyarakat
BINTANGOR: Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ Tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah di samping membantu memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha menganjurkan program seumpama itu wajar diteruskan kerana setiap titisan darah yang didermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan.
Menurut beliau, darah yang didermakan amat diperlukan bagi membantu pesakit kecemasan, mangsa kemalangan, ibu yang bersalin serta mereka yang sedang menjalani rawatan penyakit kronik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Unit Tabung Darah Hospital Sarikei, Pusat Khidmat DUN Meradong serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu menambah bekalan darah, malah memupuk semangat sukarelawan, keprihatinan dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Derma Darah ‘Setitis Darah, Seribu Harapan’ Tahun 2026 di Dewan PPD Meradong, pada Sabtu.
Datuk Ding turut memuji komitmen warga pendidikan dan masyarakat setempat yang tampil sebagai penderma darah, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta tanggungjawab sosial yang tinggi.
Beliau berharap lebih ramai individu tampil menjadi penderma darah tetap dan program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan bekalan darah negara sentiasa berada pada tahap mencukupi.
Program anjuran AKRAB PPD Meradong dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei serta Pusat Khidmat DUN N.46 Meradong itu diakhiri dengan perasmian program oleh Datuk Ding.
Turut hadir, Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Meradong Mahathir Maldini. -EDISI UKAS