AirBorneo Bukan Sekadar Syarikat Penerbangan, Tonjol Identiti Sarawak
SIBU: Penubuhan AirBorneo bukan sekadar menyediakan pilihan pengangkutan udara kepada rakyat, malah merupakan langkah strategik Kerajaan Sarawak untuk memastikan tambang penerbangan lebih mampu milik serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, syarikat penerbangan milik negeri itu turut akan menjadi medium mempromosikan identiti Sarawak menerusi pengalaman penerbangan yang menonjolkan budaya, warisan dan gastronomi tempatan.
Menurut beliau, antara inisiatif yang dirancang ialah memperkenalkan hidangan tempatan seperti nasi dabai dan makanan tradisional lain dalam menu penerbangan bagi memberi pengalaman yang lebih autentik kepada penumpang khususnya pelancong.
"Kita dalam kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat penerbangan kita sendiri, iaitu AirBorneo dan kita tetapkan harga tiket RM375, tidak berubah.
"Tidak kira hari perayaan atau tidak, tetap RM375 termasuk harga bagasi termasuk harga cukai lapangan terbang. Kalau anda menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang lain, kalau anda hendak membeli makanan perlu bayar dahulu, baru makanan datang.
"Tetapi di AirBorneo, ia diberikan secara percuma. Pengerusinya, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hendak memasukkan menu nasi dabai supaya para pelancong boleh merasa sendiri nasi dabai dari Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Sarawakku Sayang Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Program Sarawakku Sayang sebagai platform memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pendekatan turun padang dan maklum balas rakyat, bukan sekadar program pertemuan rakyat.
"Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas dan seterusnya memperbaiki penyampaian perkhidmatan oleh pegawai-pegawai kerajaan.
"Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak semua kepada perkhidmatan awam Sarawak yang tidak jemu bertemu dengan rakyat, mereka memberi nasihat dan seterusnya melaksanakan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh kerajaan," katanya.-EDISI UKAS