Projek Tebingan Sungai Sejijak Kini Dalam Fasa Pelaksanaan
KUCHING: Projek Tebingan Sungai Sejijak kini memasuki fasa pelaksanaan dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta telah diluluskan daripada keseluruhan kos projek bernilai RM44 juta.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzruddin Abdul Rahman berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mewujudkan lebih banyak peluang pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Projek tersebut kini sedang melalui proses pelaksanaan oleh agensi berkaitan dan pihaknya akan terus bekerjasama rapat bagi mempercepatkan pelaksanaan projek yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Kampung Sejijak,” katanya ketika berucap merasmikan Regatta Sejijak di Tebingan Sungai Sejijak, di sini pada Sabtu.
Selain projek tebingan sungai, Dato Fazzrudin memberitahu, Kerajaan Sarawak turut mengusahakan proses pengambilan semula beberapa kawasan tanah di Kampung Sejijak dan Kampung Paroh sebelum diserahkan semula kepada penduduk bagi tujuan pembangunan serta memenuhi keperluan komuniti pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk dapat bersabar sementara menunggu proses berkenaan diselesaikan agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menyentuh mengenai acara Regatta Sejijak, beliau memberitahu ianya terus membuktikan popularitinya apabila berjaya menarik penyertaan pasukan lumba perahu dari seluruh Sarawak, sekali gus mengangkat warisan sukan air tradisional negeri ini.
Menurutnya, Regatta Sejijak bukan sahaja menjadi platform memelihara warisan sukan tradisional, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Tanpa kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa penganjur, peserta dan penyokong, sudah tentu penganjuran regatta ini tidak akan mencapai kejayaan seperti yang kita lihat pada hari ini,” ujarnya.
Regatta Sejijak dijangka diteruskan sehingga Ahad dengan pelbagai acara lumba perahu yang melibatkan penyertaan pasukan dari seluruh Sarawak, sekali gus menjadi antara tarikan utama pengunjung ke kawasan tersebut. -EDISI UKAS