Semua Pihak Diseru Berganding Bahu Lindungi Kanak-Kanak Daripada Penderaan & Eksploitasi
TEBEDU: Semua pihak diseru berganding bahu untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, ibu bapa, institusi pendidikan dan seluruh masyarakat.
“Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam suasana yang selamat, menerima pendidikan yang sempurna serta dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan dan eksploitasi, selain diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak & Hari Bersama Komuniti 2026 di Parish Hall Kampung Taee, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dr Simon memaklumkan, isu perlindungan kanak-kanak di Bahagian Serian masih memerlukan perhatian serius berdasarkan peningkatan kes yang direkodkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian.
Menurutnya, sebanyak 50 kes melibatkan perkhidmatan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada 86 kes pada tahun 2025, manakala sehingga Jun 2026 sahaja sebanyak 55 kes telah direkodkan.
Katanya, statistik tersebut membuktikan bahawa usaha pencegahan perlu diperkukuhkan agar masyarakat lebih peka dan bertindak lebih awal sebelum sesuatu tragedi berlaku.
Sehubungan itu katanya, Sarawak berhasrat melahirkan masyarakat yang inklusif dengan memastikan setiap kanak-kanak bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah, identiti budaya serta kekuatan emosi yang kukuh.
“Saya seru ibu bapa agar sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak dan membina hubungan yang berasaskan kasih sayang serta kepercayaan, manakala guru pula terus memainkan peranan sebagai barisan hadapan dalam mengesan sebarang masalah yang dihadapi murid.
“Saya turut mengajak pemimpin masyarakat dan komuniti menjadi mata dan telinga bagi memastikan tiada kanak-kanak yang terabai atau menjadi mangsa penderaan,” tegasnya. -EDISI UKAS