Pemilik Tanah Diseru Bangunkan Aset Demi Jamin Masa Depan Keluarga
BELAWAI: Pemilik tanah di Sarawak disaran membangunkan tanah yang dimiliki secara produktif bagi menjana pendapatan berterusan, sekali gus memastikan aset tersebut terus memberi manfaat kepada keluarga dan generasi akan datang.
Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tanah merupakan aset bernilai yang tidak seharusnya dijual semata-mata untuk memperoleh keuntungan jangka pendek, sebaliknya perlu diusahakan secara optimum bagi meningkatkan taraf sosioekonomi pemilik.
“Tanah adalah aset warisan yang tidak ternilai harganya. Jangan jual tanah demi keuntungan jangka pendek yang cepat habis, sebaliknya usahakan tanah bagi menjamin ekonomi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 (Pertanian) dan Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, pada Sabtu.
Pada majlis itu, seramai 233 penerima menerima Surat Hak Milik Tanah sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan memperkukuh pemilikan tanah dalam kalangan rakyat.
Datuk Len Talif berkata, kerajaan bukan sahaja komited membantu rakyat memperoleh hak milik tanah yang sah, malah mahu melihat setiap tanah yang dimiliki dibangunkan secara mampan agar mampu menjana pulangan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya di luar bandar.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif dan bantuan disediakan kerajaan bagi menggalakkan pemodenan sektor pertanian serta meningkatkan produktiviti tanah, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemilik untuk menambah pendapatan.
Beliau turut mengingatkan pemilik tanah supaya mematuhi syarat penggunaan yang telah ditetapkan kerana setiap hak milik diberikan bagi tujuan tertentu dan perlu diurus mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, syarat khas yang dikenakan bertujuan mengelakkan aktiviti spekulasi dan urus niaga yang boleh menjejaskan kepentingan pemilik, selain memastikan tanah terus dimanfaatkan mengikut tujuan asal pemberiannya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 13 Kanun Tanah Sarawak diberikan bagi tempoh pegangan selama 60 tahun dan pemilik boleh memohon pemberimilikan semula selepas tempoh tersebut tamat, tertakluk kepada dasar serta syarat yang ditetapkan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pemilik menghargai kemudahan yang disediakan kerajaan dengan mengurus dan membangunkan tanah secara bertanggungjawab agar aset berkenaan terus memberi manfaat kepada keluarga, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti dan negeri. -EDISI UKAS