Bola Keranjang 3x3 Sarawak Lakar Keputusan Berbeza
KLANG: Gelanggang bola keranjang 3x3 SUKMA Selangor yang membuka tirai di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2 di sini hari ini menyaksikan keputusan berbeza direkodkan oleh skuad lelaki dan wanita Sarawak.
Ketika skuad lelaki berjaya mencetak kemenangan awal, skuad wanita Sarawak pula longlai dalam dua aksi pertama.
Perlawanan pertama dalam saingan Wanita Pool C menyaksikan skuad Sarawak tewas tipis 16-17 di tangan Johor dalam perlawanan berlangsung selama 10 minit.
Kealpaan di hujung perlawanan menyaksikan kuartet Sarawak diwakili Natasha Ong Yee Rou, Karen Wong Khai Xin, Jolin Ting Pei Wen dan Yeu Yii Ting berputih mata dihukum atlet Johor dengan hanya perbezaan satu mata.
Percubaan kedua mereka menentang Negeri Sembilan turut gagal apabila tewas 15-21, sekali gus menutup peluang untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus oleh kejayaan skuad lelaki Sarawak selepas berjaya menjinakkan Pahang juga dalam aksi Pool C.
Gandingan Leon Ling Sheng Yi, Nelson Tan Yin Fung, Hii Tai Seng dan Denny Pek Sheng Yi nyata unggul apabila berjaya mencetak kemenangan selesa 21-15 dalam aksi sengit cukup sengit. - EDISI UKAS