Agensi Digesa Percepat Penyelesaian Isu Projek Bangunan Baharu SK Nanga Temalat
SONG: Semua agensi dan jabatan terlibat perlu bekerjasama bagi menyelesaikan segera beberapa isu yang dikenal pasti dalam pelaksanaan projek pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat di sini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, beberapa isu yang dikenal pasti memerlukan tindakan serta penyelarasan lanjut antara agensi terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD).
“Harapan saya ialah supaya murid kita dapat menggunakan bilik darjah baharu ini secepat mungkin. Dengan siapnya bangunan baharu sekolah ini nanti, saya berharap murid akan lebih selesa dan lebih bersemangat untuk belajar. Itulah yang kita mahukan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke SK Nanga Temalat pada Rabu.
Terdahulu, beliau meninjau perkembangan projek berkenaan yang dilaksanakan di bawah Program Baik Pulih Sekolah Daif di Sarawak.
Dalam lawatan itu, pihak JKR Sarawak turut memberikan taklimat berhubung kemajuan pelaksanaan projek, termasuk status kerja semasa serta beberapa perkara yang masih memerlukan tindakan susulan sebelum proses penyerahan bangunan kepada pihak sekolah dapat dilaksanakan.
Dato Sri Roland berharap semua isu yang masih tertangguh dapat diselesaikan menjelang penghujung tahun ini supaya bangunan baharu berkenaan dapat digunakan pada awal sesi persekolahan tahun depan.
Lawatan kerja itu turut disertai Timbalan Menteri MEITD Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan, Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed serta wakil agensi dan jabatan berkaitan. -EDISI UKAS