Jerebu: 107 Sekolah Di Serian Ditutup, Catat IPU Melebihi 200
KUCHING: Sebanyak 107 sekolah di Bahagian Serian ditutup sementara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 yang berada pada kategori Sangat Tidak Sihat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penutupan itu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.
Menurutnya, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan IPU mencecah 200, di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
"Susulan bacaan IPU yang melebihi 200 di Bahagian Serian, 107 buah sekolah di kawasan berkenaan telah ditutup sementara sebagai langkah pencegahan bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan.
"Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPBNS pada Rabu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah dalam kenyataan itu menambah, dua kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada kategori Sangat Tidak Sihat (IPU 201 hingga 300) iaitu Tebedu (212) serta Serian (202) setakat jam 4 petang hari ini.
Sebanyak 11 kawasan pula berada dalam kategori Tidak Sihat (IPU 101 hingga 200) iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu, Lubok Antu dan Lawas.
Lima kawasan lagi berada dalam kategori Sederhana (IPU 51 hingga 100) iaitu Mukah, Kapit, ILP Miri, Limbang dan Bario.
Tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU dalam kategori Baik, iaitu di bawah 50, dan Berbahaya, iaitu melebihi 300.
Katanya, laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 11 Ogos 2026 merekodkan sebanyak 75 titik panas di Sarawak, berbanding 3,853 titik panas yang dikesan di Kalimantan, Indonesia dalam tempoh sama.
Jelasnya, keadaan semasa turut dipengaruhi fasa Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei 2026 dan dijangka berakhir pada September 2026, dengan tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di wilayah Sarawak.
“Sarawak berkemungkinan akan berterusan mengalami jerebu pada beberapa hari yang akan datang sekiranya pembakaran biojisim semakin meningkat di luar persempadanan Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berkata JPBNS bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas serta kejadian kebakaran di seluruh Sarawak.
Beliau turut menasihati orang ramai untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah, khususnya apabila bacaan kualiti udara berada pada tahap Tidak Sihat atau lebih tinggi.
"Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung pula dinasihatkan untuk mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.
"Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan aktiviti fizikal lasak dan sukan di luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk serta menggunakan pelitup muka yang bersesuaian jika perlu berada di luar," jelasnya.
Sementara itu, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan pencemaran udara terutamanya ketika musim panas.
Mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Natural Resources and Environment Ordinance (Cap. 84 – Laws of Sarawak, Ed. 1958) dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kerjasama orang awam turut dituntut untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Pejabat NREB berdekatan atau Hotline NREB di talian 082-447488 atau 082-319500. -EDISI UKAS