Dalat & Mukah Perkasa Suara Kanak-Kanak Menerusi Inisiatif CFCI
MUKAH: Suara kanak-kanak bakal diberi ruang lebih besar dalam perancangan dan tadbir urus tempatan di Dalat dan Mukah menerusi pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) bersama UNICEF Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, keperluan dan kebajikan kanak-kanak perlu diberi keutamaan dalam perancangan di peringkat tempatan bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan kondusif.
Menurut beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, perancangan persekitaran binaan dan ruang awam perlu mengambil kira perspektif kanak-kanak memandangkan golongan itu mempunyai keperluan serta pengalaman yang berbeza berbanding orang dewasa dalam menggunakan kemudahan awam.
“Persekitaran binaan dan ruang awam perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan kanak-kanak kerana golongan ini mengalami dan menggunakan kemudahan awam secara berbeza berbanding orang dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNICEF Malaysia dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) bagi pelaksanaan CFCI yang turut disaksikan oleh beliau di sini pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim berkata, antara langkah utama di bawah inisiatif berkenaan ialah melaksanakan analisis situasi hak kanak-kanak menerusi pengumpulan data tempatan serta mendapatkan pandangan kanak-kanak, ibu bapa, guru dan penyedia perkhidmatan.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi mengenal pasti isu sebenar yang dihadapi kanak-kanak di kedua-dua kawasan termasuk keselamatan jalan raya, kesihatan mental, kemudahan rekreasi dan penyediaan ruang awam yang selamat.
“Majlis Kanak-Kanak juga akan ditubuhkan bagi menyediakan platform kepada golongan tersebut untuk mengambil bahagian secara langsung dalam tadbir urus tempatan.
“Melalui platform ini, kanak-kanak berpeluang berkongsi pandangan berkaitan perancangan majlis, reka bentuk ruang awam, keselamatan lalu lintas dan keselamatan komuniti,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MDDM akan melaksanakan pelan tindakan tiga tahun yang disesuaikan dengan keperluan serta keadaan setempat.
Beliau turut menyeru semua agensi tempatan, pemimpin masyarakat, pentadbir sekolah dan ibu bapa di Dalat serta Mukah supaya memberikan sokongan bagi memastikan pelaksanaan CFCI mencapai matlamatnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Rahman Bujang Seli, wakil UNICEF ke Malaysia Robert Gass dan Pengerusi MDDM Kaunselor Aini Suhaili. - EDISI UKAS