Fungsi, Praktikal dan Keselamatan Asas Projek Pembangunan
LAWAS: Aspek fungsi, praktikal dan keselamatan perlu menjadi pertimbangan utama dalam merancang setiap projek pembangunan bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan masyarakat dan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, aspek reka bentuk sesuatu projek juga perlu disesuaikan dengan keadaan tapak, keperluan pengguna serta tujuan pembangunan, bukannya hanya mengutamakan aspek estetika.
Menurut beliau, arkitek dan pihak berkaitan perlu menilai keadaan sebenar tapak sebelum menentukan reka bentuk serta perancangan projek bagi memastikan kemudahan yang disediakan praktikal dan selamat untuk digunakan.
“Fungsi, praktikal, keselamatan dan keindahan merupakan empat perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam merancang sesuatu projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke Projek Anjung Usahawan Noor Islam di Kampung Noor Islam, Kuala Lawas, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah mahu projek bernilai kira-kira RM2.35 juta tersebut disiapkan pada September ini, lebih awal daripada sasaran asal pada Oktober.
Menurut beliau, projek berkenaan akan menyediakan ruang kepada masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti keusahawanan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, kemudahan itu berpotensi dimanfaatkan sebagai platform penghasilan dan pemasaran produk tempatan termasuk makanan serta produk berasaskan kemahiran dan sumber masyarakat setempat.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menggalakkan pengusaha tempatan memanfaatkan kemudahan berkenaan untuk meningkatkan kualiti produk, penggunaan teknologi dan keupayaan pemasaran, selain tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan.
Beliau turut menggalakkan pengusaha meneroka pasaran lebih luas, khususnya Brunei dan Singapura, mengambil kira kedudukan strategik Lawas serta hubungan perdagangan dengan negara jiran.
Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip, serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.-EDISI UKAS