Naik Taraf Perparitan Atasi Isu Saliran Di Biawak & Sebako
LUNDU: Dua projek naik taraf sistem perparitan bakal dilaksanakan di Kampung Biawak dan Kampung Sebako 1 bagi meningkatkan kecekapan aliran air serta membantu menangani isu saliran di kawasan terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kedua-dua projek berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan RM600,000 di bawah Program Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Menurut beliau, sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi menaik taraf sistem perparitan di Kampung Biawak, manakala RM350,000 bagi kawasan Sintoes, Kampung Sebako 1.
“Lawatan tapak ini penting bagi memastikan keadaan sebenar di lokasi dikenal pasti supaya skop pelaksanaan projek dapat disesuaikan dengan keperluan masyarakat setempat,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak ke lokasi kedua-dua projek berkenaan, pada Khamis.
Billy berkata, pelaksanaan projek itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan aliran air selain membantu mengurangkan risiko takungan air dan masalah saliran yang boleh menjejaskan keselesaan penduduk.
Kedua-dua projek itu merupakan antara usaha memperkukuh infrastruktur asas di kawasan luar bandar Opar, khususnya dalam menambah baik sistem saliran untuk manfaat penduduk. -EDISI UKAS