Dialog Komuniti Buka Ruang Penduduk Kemuka Isu Setempat
KUCHING: Penduduk Greenwood Park, Taman Emas, Taman Paradise dan kawasan Unit Perindustrian RH berpeluang mengemukakan isu setempat secara langsung kepada lima agensi kerajaan menerusi Program Dialog Komuniti yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, program yang dijadual berlangsung di Open University Malaysia (OUM) Cawangan Kuching bermula jam 10 pagi itu menjadi platform menghimpunkan masyarakat dan agensi berkaitan bagi membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi penduduk.
“Bukan mudah untuk kami mengetuk setiap pintu rumah dan bertemu semua penduduk secara individu. Oleh itu, program dialog seperti ini merupakan saluran paling berkesan untuk menghimpunkan masyarakat serta agensi berkaitan di satu tempat.
“Program ini khas untuk komuniti, bukan sekadar mendengar aduan, tetapi matlamatnya adalah membawa pihak yang bertanggungjawab ke meja perbincangan, memahami keadaan sebenar di lapangan dan mencari penyelesaian praktikal secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Pusat SUPP Cawangan Batu Kitang di sini pada Khamis.
Bertemakan ‘Mendekati Rakyat, Menyelesaikan Masalah Rakyat’, program berkenaan akan menghimpunkan wakil daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Water dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dato Ir Lo berkata, penglibatan lima agensi tersebut membolehkan isu yang dibangkitkan dibincangkan secara lebih menyeluruh, termasuk perkara melibatkan kawasan berhampiran sempadan pentadbiran MPP dan MPKS.
Beliau menyeru penduduk, pemilik premis dan pengusaha perniagaan di kawasan terlibat supaya hadir dan memanfaatkan platform tersebut untuk menyuarakan pandangan serta permasalahan mereka.
Mengulas isu banjir, Dato Ir Lo berkata, masalah berkenaan dipengaruhi pelbagai faktor termasuk hujan lebat dalam tempoh singkat, perubahan iklim, keadaan sistem perparitan sedia ada serta pertumbuhan tumbuh-tumbuhan di dalam saliran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan langkah mitigasi tetap perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan risiko dan kesannya terhadap penduduk.
“Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah banjir dengan serta-merta, tetapi kita boleh mengurangkan kesannya melalui kerja mendalamkan saliran, membersihkan tumbuh-tumbuhan dan sampah-sarap serta memastikan aliran air hujan tidak tersekat.
“Di kawasan kita, tumbuh-tumbuhan di dalam saliran membesar dengan sangat cepat. Walaupun dibersihkan hari ini, ia boleh tumbuh semula dalam masa beberapa minggu. Oleh itu, penyelenggaraan mesti dilakukan secara berterusan,” jelasnya.
Menurut beliau, pembinaan longkang konkrit juga tidak semestinya sesuai di semua lokasi, khususnya kawasan yang telah mempunyai pembangunan sedia ada, justeru penyelenggaraan saliran tanah dan konkrit perlu diberi perhatian sewajarnya. -EDISI UKAS