611 Bread Of Life Christian Church Terima Geran UNIFOR RM200,000
KUCHING: Geran RM200,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) disalurkan kepada 611 Bread Of Life Christian Church di sini, bagi menaik taraf kemudahan ibadah serta menggantikan peralatan sedia ada yang telah usang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata, bantuan tersebut membolehkan pihak gereja menyediakan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan jemaah.
“Geran RM200,000 ini bukan sekadar pelaburan terhadap kemudahan fizikal gereja, tetapi juga kepada komuniti yang mendapat manfaat daripadanya.
“Kemudahan ibadah yang baik dan diselenggara dengan sempurna penting bagi memastikan jemaah dapat menjalankan aktiviti keagamaan dalam suasana selesa dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke 611 Bread Of Life Christian Church bagi menyerahkan geran berkenaan pada Khamis.
Wilfred berharap kemudahan yang ditambah baik kelak dapat terus dimanfaatkan oleh jemaah serta komuniti setempat.
Dalam pada itu beliau berkata, sokongan Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR turut memastikan rumah ibadat mempunyai kemudahan yang sesuai bagi melaksanakan aktiviti keagamaan serta memberi manfaat kepada komuniti masing-masing.
Katanya, sokongan berterusan terhadap rumah ibadat turut mencerminkan usaha memperkukuh keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang agama di Sarawak.
“Sarawak ialah tempat di mana masyarakat daripada pelbagai kepercayaan hidup bersama dalam keamanan, saling menghormati dan harmoni.
“Sokongan Kerajaan Sarawak kepada rumah ibadat merupakan manifestasi praktikal semangat keterangkuman dan perpaduan ini,” ujarnya. -EDISI UKAS