KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (JKPK) di Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Kunjungan tersebut yang diketuai Pengerusi JKPK, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin diadakan sempena lawatan kerja jawatankuasa itu ke Sarawak selama empat hari bagi meninjau dan mengkaji pelaksanaan tatakelola, integriti serta prosedur kerja di beberapa agensi kerajaan.
Menurut Dato’ Setia Salehuddin, Sarawak dipilih sebagai lokasi lawatan bagi membolehkan JKPK melihat sendiri pelaksanaan serta cabaran yang dihadapi agensi dalam aspek tatakelola dan integriti.
Beliau berkata, antara lokasi yang diberi perhatian ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), khususnya bagi meneliti proses keluar masuk individu serta prosedur yang dilaksanakan bagi mencegah ketirisan dan kemasukan secara tidak sah.
"Kami berkesempatan untuk pergi ke LTAK untuk meneliti proses kemasukan dan juga keluarnya seseorang individu daripada lapangan terbang, dan proses bagaimana ia dilaksanakan, adakah ianya boleh mengelakkan daripada berlaku kebocoran, kemasukan secara haram, dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui.
Selain itu, beliau berkata, JKPK turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ombudsman Sarawak.
Katanya, lawatan ke Ombudsman Sarawak penting bagi membolehkan jawatankuasa itu meneliti keberkesanan institusi tersebut dalam memperkukuh tatakelola dan integriti.
Tambahnya, cadangan penubuhan Ombudsman di Malaysia turut pernah dikaji oleh jawatankuasa berkenaan menerusi lawatan ke beberapa negara termasuk Hong Kong.
“Kita merasakan memang sewajarnya Ombudsman ditubuhkan di Malaysia sebagai satu badan bebas yang boleh melihat dari segi tatakelola dan integriti jabatan-jabatan kerajaan.
“Cadangan itu telah dibawa kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan saya difahamkan kemungkinan Ombudsman ini akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, pertemuan bersama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua Dewan Negara turut menyentuh keperluan mengemas kini undang-undang dan peraturan sedia ada, khususnya berkaitan punca kuasa penubuhan sesebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Jabatan.
Menurut Dato’ Setia Salehuddin, ia berperanan mengkaji dan memberikan cadangan lebih baik dalam isu-isu berkaitan tatakelola dan integriti di jabatan serta kementerian. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim