KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Kunjungan yang diketuai Naib Canselor UTS, Ir Ts Prof Dr Mohammad Shahril Osman itu antara lain bertujuan menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi selaku Canselor UTS untuk menyempurnakan Majlis Konvokesyen UTS Ke-11 yang dijadual berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud pada 14 dan 15 November ini.
Menurut Dr Mohammad Shahril, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi yang merupakan Canselor UTS dijadual menghadiri hari pertama majlis konvokesyen berkenaan pada 14 November.
Selain itu, kunjungan berkenaan turut menjadi kesempatan beliau untuk memperkenalkan diri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak selepas dilantik sebagai Naib Canselor ketiga UTS pada 1 Julai lalu.
Kunjungan itu juga turut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi mengenai perkembangan terkini UTS. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim