Keselamatan, Perlindungan Alam Sekitar Jadi Keutamaan Penyahtauliahan SSGP
LAWAS: Kerjasama antara komuniti, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), kontraktor dan agensi berkaitan terus diperkasa bagi memastikan aspek keselamatan, kesihatan serta perlindungan alam sekitar diberi keutamaan dalam projek penyahtauliahan Saluran Paip Gas Sabah–Sarawak (SSGP).
Usaha itu diteruskan menerusi Program Memperkasa Budaya Keselamatan Bersama Komuniti, PETRONAS SSGP dan Kontraktor di Hotel Seri Malaysia Lawas pada Rabu.
Menurut wakil PETRONAS, projek penyahtauliahan SSGP fasa pertama melibatkan kerja perobohan stesen, kerja saluran paip, pemulihan kawasan, penanaman semula dan pemantauan alam sekitar.
Katanya, pelaksanaan kerja tersebut memerlukan penyelarasan rapi bagi memastikan risiko seperti penggunaan jentera, kerja perobohan, pergerakan kenderaan, cuaca, bunyi bising dan pengurusan bahan buangan dikawal dengan baik.
Program itu turut memberi pendedahan kepada komuniti mengenai potensi bahaya, risiko projek, langkah keselamatan dan tindakan ketika kecemasan, selain membuka ruang komunikasi dua hala antara masyarakat dengan pihak berkaitan.
Wakil PETRONAS turut menggalakkan masyarakat mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan aktiviti projek. -EDISI UKAS