TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat TEKUN Nasional
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada kepimpinan tertinggi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.
Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi TEKUN Nasional, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid itu bertujuan memperkenalkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional yang baharu, Mohamad Shiblie Abg Sapuan.
Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi turut berkongsi pengalaman bersama TEKUN dalam usaha memperkukuh penyampaian kemudahan pembiayaan kepada golongan usahawan.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya proses permohonan pembiayaan dipermudah dan disederhanakan bagi membolehkan usahawan mendapatkan akses modal dengan lebih mudah dan pantas.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan wajar memberi tumpuan kepada penjaja dan peniaga kecil di kawasan tamu, selain usahawan anak pribumi serta masyarakat Bumiputera tempatan.
Di samping itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak turut menekankan kepentingan mempergiat publisiti mengenai skim dan program TEKUN agar maklumat kemudahan pembiayaan dapat disampaikan secara meluas kepada kumpulan sasaran.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional, Dato’ Zainal Abidin Abd Hamid, Ketua Bahagian Pengurusan Pembiayaan, Mohd Yusri Mohd Yusob, Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat, Nooraida Ismail, Pengurus TEKUN Sarawak, Roslan Ais, serta Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, Ainun Rohayu Mohamad. -EDISI UKAS