KUCHING: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selamat berangkat tiba di Terminal Orang Kenamaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pada Khamis.
Keberangkatan tiba Baginda pada kira-kira jam 11.45 pagi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Pahang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof.
Pada sebelah malam, Baginda berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Santapan Malam yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pada Jumaat, Baginda dijadualkan mencemar duli menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah, Telok Melano, sebelum berkenan menyempurnakan perasmian masjid berkenaan.
Masjid tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Sultan Pahang apabila Baginda berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah masjid berkenaan pada 13 September 2023 semasa pemerintahan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Usai majlis berkenaan, Baginda turut berkenan menanam anak pokok ‘Bauhinia Purpurea’ di perkarangan masjid sebelum mencemar duli bersiar di Pantai Telok Melano dan berkenan bergambar di titik 0.00 Lebuhraya Pan Borneo.
Baginda dijadualkan berangkat pulang ke Pahang Darul Makmur pada Sabtu dari LTAK ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan. -EDISI UKAS