Lebih 100 Pelajar Batu Danau Terima Bantuan Kemasukan IPT
LIMBANG: Lebih 100 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau menerima bantuan kewangan secara sekali bayar bagi meringankan beban keluarga dalam membuat persediaan melanjutkan pengajian ke kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, bantuan itu disalurkan bagi membantu keluarga menampung kos persediaan awal sebelum pelajar memulakan pengajian.
“Inisiatif ini turut bertujuan menggalakkan anak-anak tempatan melanjutkan pengajian dan memastikan pelajar, khususnya dari kawasan luar bandar, tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi,” katanya semasa majlis penyerahan bantuan berkenaan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat N80 Batu Danau, di sini, pada Selasa.
Antara penerima ialah Safina Yemma Joying Phang dari Kampung Buluh Balui yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan dan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas bantuan tersebut yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarganya dalam membuat persiapan dan urusan pendaftaran ke universiti.- EDISI UKAS