Karnival Perpaduan Stakan Pupuk Semangat Patriotisme dalam Masyarakat
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bakal menganjurkan Karnival Perpaduan Stakan bermula 28 hingga 30 Ogos ini bagi memupuk semangat keharmonian dan patriotisme dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengerusi MPKS Kaunselor Abang Ismawi Abang Ali berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan memupuk semangat perpaduan dan keharmonian menerusi kepelbagaian aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, serta patriotisme.
Menurut beliau, antara acara yang dianjurkan termasuk Pertandingan Nyanyian Stakan Idol, Puzzle Battle, Street Soccer, Memanah Tradisional, Carrom, Beyblade, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Pertunjukan Fesyen Daripada Barangan Terpakai serta Pertandingan Storytelling Patriotisme.
“Sebanyak 60 vendor makanan dan minuman (Hipster Foodie) serta tujuh agensi kerajaan dan NGO dijemput memeriahkan suasana serta memberi penerangan mengenai perkhidmatan komuniti yang disediakan,” katanya dalam sidang media bagi penganjuran karnival tersebut di Bilik Mesyuarat Perpustakaan MPKS, pada Khamis.
Aspek inklusiviti turut diberi penekanan menerusi penganjuran Pertandingan Patriotisme OKU bagi memastikan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, program 'Buy Bag Campaign' dan demonstrasi anjing K9 turut diadakan pada 29 Ogos bagi menarik kehadiran pengunjung.
Kemuncak penganjuran karnival bakal disaksikan pada 30 Ogos menerusi acara National Day Night Run yang dijangka menarik penyertaan sekitar 2,500 hingga 3,000 peserta.
Manakala, majlis penutupan rasmi akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim.
Penganjuran karnival selama lima hari di Pusat Komersial Taman Unicentral itu merupakan hasil kerjasama MPKS bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pusat Khidmat N.17 Stakan, Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS), Belia Stakan serta SABERKAS Cawangan Stakan. -EDISI UKAS