Dialog Sarawakku Sayang Jadi Saluran Penduduk Kemuka Isu Setempat
MATU: Enam kampung menyertai Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng Zon Sekaan Siri 6 bagi membolehkan penduduk mengemukakan secara langsung isu berkaitan kemudahan asas dan persekitaran setempat.
Enam kampung berkenaan ialah Kampung Muut, Kampung Dagang, Kampung Masjid, Kampung Treng, Kampung Pasar Lama Cina dan Kampung Pasar Baru Cina.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sesi dialog berkenaan penting sebagai saluran bagi kerajaan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, antara perkara yang dibangkitkan termasuk masalah sungai tersumbat, kehadiran haiwan liar atau ganas serta isu berkaitan sistem perparitan dan longkang.
“Pelbagai isu telah dikemukakan penduduk dan perkara seperti ini perlu kita ambil maklum supaya tindakan susulan dapat dikenal pasti serta dibawa kepada agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang DUN Jemoreng di Dewan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menasihatkan penduduk supaya menggunakan saluran yang betul bagi menyampaikan aduan atau ketidakpuasan hati berkaitan isu di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, media sosial khususnya Facebook tidak seharusnya dijadikan saluran utama untuk meluahkan ketidakpuasan hati sehingga boleh menimbulkan salah faham atau menjejaskan pihak tertentu.
“Bawa perkara itu kepada kita supaya kita dapat melihat dan membantu menyelesaikannya melalui saluran yang betul,” tegasnya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membolehkan setiap isu diteliti dan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya mengikut bidang kuasa masing-masing.
Katanya, Dialog Pembangunan Sarawakku Sayang akan terus menjadi ruang interaksi antara kerajaan dengan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas mengenai keperluan serta permasalahan penduduk.
“Kerjasama erat antara penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara tersusun demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat di DUN Jemoreng,” katanya. -EDISI UKAS