MATU: Seramai 579 Ketua Isi Rumah (KIR) di Zon Sekaan menerima bakul makanan menerusi Program Agihan Mesra Rakyat Zon Sekaan yang dianjurkan Pusat Khidmat Jemoreng dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Matu (LAKIM), pada Selasa.
Agihan tersebut disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, sebagai usaha membantu meringankan perbelanjaan harian penduduk, khususnya bagi keperluan asas keluarga.
Beliau berkata, bantuan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada penerima dalam menghadapi keperluan perbelanjaan isi rumah.
“Diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian penerima, khususnya dalam mendapatkan barangan keperluan asas keluarga,” katanya.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 39 bakul diagihkan kepada penerima di Pasar Baru Matu, Pasar Lama Matu (47), Kampung Dagang (78), Kampung Masjid (111), Kampung Muut (100) dan Kampung Treng (204).
Bakul makanan berkenaan mengandungi barangan keperluan asas harian termasuk beras, minyak masak dan barangan makanan lain bagi membantu memenuhi keperluan keluarga penerima.
Program tersebut mencerminkan usaha berterusan Pusat Khidmat Jemoreng bersama pertubuhan setempat dalam menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk yang memerlukan di kawasan DUN Jemoreng. -EDISI UKAS