Benteng Kawalan Hakisan Pantai Kuala Matu Perkukuh Perlindungan Penduduk
MATU: Projek Pembinaan Benteng Kawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Matu dijangka memperkukuh perlindungan penduduk setempat daripada ancaman hakisan dan banjir pantai.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek berkenaan merupakan antara langkah penting dalam meningkatkan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar yang terdedah kepada risiko hakisan pantai.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak projek berkenaan di Pantai Kuala Matu, pada Selasa.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut bukan sahaja memberi perlindungan kepada kawasan pantai, malah dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan harta benda akibat hakisan dan banjir pantai.
“Diharapkan projek ini dapat berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan lapis lindung batu sepanjang 300 meter bagi mengurangkan kesan hakisan terhadap kawasan pantai.
Skop kerja turut merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki konkrit bertetulang, benteng tanah, tangga konkrit bertetulang serta sistem saliran bagi melengkapkan kemudahan perlindungan pantai.
Projek tersebut diluluskan di bawah P.29 Projek Khas (Projek Rakyat) dengan kos siling RM5 juta.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk Kuala Matu, khususnya dalam meningkatkan tahap keselamatan dan ketahanan kawasan berisiko terhadap ancaman hakisan serta banjir pantai. -EDISI UKAS