Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Terima Pingat Jasa Pahlawan Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima Pingat Jasa Pahlawan Sarawak (PJPS) dalam satu majlis khas yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.
Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dan disaksikan Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Penganugerahan itu merupakan penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap jasa dan pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mempertahankan keamanan, kedaulatan dan kesejahteraan negara.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi pernah menyertai pasukan PDRM pada 1964 dan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, di mana beliau ditugaskan di Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) yang ketika itu merupakan zon operasi utama semasa era darurat di Sarawak dalam usaha membanteras ancaman komunis. -EDISI UKAS