Naik Taraf Dewan Kasol Tingkat Keselesaan Warga Sekolah, Komuniti
LUNDU: Dewan Kasol, Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Name, Kampung Rukam kini lebih selesa dan kondusif untuk dimanfaatkan warga sekolah serta komuniti setempat selepas siap dinaik taraf menerusi peruntukan RM200,000 di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Konstituensi Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penambahbaikan kemudahan berkenaan membolehkan dewan digunakan secara lebih optimum bagi menyokong pelbagai aktiviti sekolah dan kemasyarakatan.
“Kemudahan yang lebih baik ini memberi ruang kepada pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk program akademik, kokurikulum, perhimpunan dan majlis rasmi dalam persekitaran yang lebih selesa.
“Dewan ini turut boleh dimanfaatkan bagi aktiviti melibatkan komuniti setempat, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kemudahan awam yang disediakan melalui peruntukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap Naik Taraf Dewan Kasol, SK Holy Name, Kampung Rukam, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Billy menegaskan kemudahan yang telah dinaik taraf perlu dipelihara dan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka panjang.
Projek berkenaan merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur pendidikan di kawasan Opar, khususnya bagi menyokong keperluan warga sekolah dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS