Penglibatan Generasi Muda Penting Teruskan Pengimarahan Masjid & Surau
LAWAS: Penglibatan generasi muda dalam aktiviti keagamaan perlu terus diperkasa bagi memastikan kesinambungan usaha mengimarahkan masjid, surau dan program keagamaan pada masa hadapan.
Dalam hal ini, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, generasi muda bukan sahaja perlu mempunyai ilmu dan kemahiran, malah mesti memiliki jati diri, akhlak yang baik serta pegangan agama yang kukuh.
“Penglibatan generasi muda amat penting kerana merekalah yang akan meneruskan usaha mengimarahkan masjid, surau dan program-program keagamaan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertandingan Zikir Marhaban dan Nasyid sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah Lawas 1448H/2026M di Stadium Tertutup Lawas pada Ahad.
Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, penganjuran program berunsurkan marhaban dan nasyid bukan sekadar memeriahkan sambutan Maulidur Rasul, malah menjadi medium mengimarahkan syiar Islam melalui keindahan seni suara dan persembahan yang berteraskan nilai-nilai keagamaan.
Tambahnya, alunan zikir marhaban dapat menyuburkan amalan berselawat dan memuji junjungan Nabi Muhammad SAW, selain mendekatkan masyarakat khususnya generasi muda kepada sirah dan akhlak mulia Baginda.
Beliau berkata, nasyid pula merupakan medium dakwah yang kreatif dan dekat dengan masyarakat dalam menyampaikan mesej mengenai kasih sayang, persaudaraan, keimanan dan nilai murni dengan cara yang menarik serta mudah dihayati.
“Pertandingan seperti ini juga menyediakan ruang yang positif kepada peserta untuk mencungkil dan mengembangkan bakat, meningkatkan kreativiti serta membina semangat berpasukan,” ujarnya.
Program yang diadakan menerusi kerjasama IQLAS, PPWS Daerah Lawas dan LAKHIL itu menampilkan penyertaan lapan kumpulan dalam Pertandingan Zikir Marhaban manakala empat kumpulan menyertai Pertandingan Nasyid.
Turut hadir ialah isteri kepada Timbalan Premier Sarawak, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Abdul Latip, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa. -EDISI UKAS