Projek Penggantian & Naik Taraf Paip 73.2 KM Di Simunjan Libatkan Kos RM45.7 Juta
SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak terus komited menangani isu bekalan air di Daerah Simunjan menerusi pelaksanaan projek penggantian dan menaik taraf paip lama sepanjang 73.2 kilometer (km) dengan kos berjumlah RM45.7 juta.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM84.37 juta bagi menaik taraf sistem agihan air di kawasan Samarahan yang melibatkan jarak keseluruhan 148.3 km.
Menurutnya, projek berskala besar itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula akhir 2026 atau awal 2027 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
“Kita faham masyarakat melihat tempoh ini agak lama, maka kerajaan juga melaksanakan projek jangka pendek seperti pembinaan tangki aras tinggi di Kampung Hijrah yang dijangka siap pada Ogos 2027 untuk membantu kawasan yang terjejas.
“Pelaksanaan kedua-dua pendekatan berkenaan dijangka membantu menyediakan penyelesaian lebih menyeluruh terhadap isu bekalan air di Simunjan secara berperingkat, selaras dengan keperluan pembangunan dan pertambahan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1448H/2026M di Dewan Mesra Simunjan, pada Selasa.
Ujarnya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem bekalan air, khususnya menerusi penggantian paip lama yang menjadi antara komponen penting dalam meningkatkan kecekapan sistem agihan.
Dalam pada itu, Rodiyah menggesa masyarakat setempat supaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor sepanjang tempoh pelaksanaan projek, terutama dengan tidak menghalang laluan serta kawasan kerja yang telah dikenal pasti.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kerja-kerja teknikal dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang gangguan yang boleh menjejaskan jadual pelaksanaan projek. -EDISI UKAS