Pesta Asajaya Bakal Berlangsung 28-30 Ogos, Tampilkan Pelbagai Pengisian
ASAJAYA: Pesta Asajaya yang dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 Ogos ini bakal menghimpunkan masyarakat dari Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya menerusi pelbagai pengisian melibatkan aspek keagamaan, belia, wanita dan keusahawanan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pesta berkenaan menawarkan pelbagai pengisian yang disasarkan kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan.
“Pengisian yang begitu banyak sekali, ada pengisian keagamaan, pengisian untuk belia, pengisian untuk wanita dan pengisian untuk usahawan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu program di Kampung Tambirat, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, pengisian hiburan turut menjadi antara tarikan utama dengan penyanyi tempatan Sarawak dijadual membuat persembahan pada 29 Ogos, manakala artis terkenal dari Semenanjung akan menghiburkan pengunjung pada 30 Ogos.
Selain itu katanya, agensi kerajaan turut mengambil bahagian melalui penyediaan pameran bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan, manakala cabutan bertuah turut disediakan dengan pelbagai hadiah menarik termasuk motosikal dan peti sejuk.
Dato Sri Abdul Karim turut berharap warga Asajaya dan Samarahan dapat hadir memeriahkan Pesta Asajaya serta memanfaatkan pelbagai pengisian yang disediakan sepanjang tiga hari penganjuran.
Beliau pada masa sama berharap keadaan cuaca berada dalam keadaan baik bagi memastikan kelancaran pesta berkenaan. -EDISI UKAS