Penghayatan Maulidur Rasul Di Mukah Diteruskan Dengan Majlis Kesyukuran
DARO: Penghayatan Sambutan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Bahagian Mukah diteruskan menerusi Majlis Kesyukuran di Masjid Al-Muhsiniin Daro pada Ahad, meskipun acara perarakan dan perhimpunan dibatalkan susulan keadaan jerebu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi hadir memeriahkan majlis yang turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul.
Pertandingan tersebut melibatkan penyertaan 32 sepanduk.
Pembatalan acara perarakan dan perhimpunan dibuat selaras dengan saranan Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi menjaga keselamatan dan kesihatan peserta serta orang ramai.
Walaupun kedua-dua acara berkenaan tidak dapat dilaksanakan, Majlis Kesyukuran terus menjadi wadah bagi masyarakat Islam setempat memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW serta menghayati perjuangan, akhlak dan sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli dan Pegawai Daerah Daro, Zul Usop. -EDISI UKAS