Hampir 15 Jam Terapung Di Laut Bergelora, Perwira PASKAL Terus Bertahan
BAU: Hampir 15 jam terapung di tengah Laut China Selatan, berdepan ombak tahap empat serta arus deras yang berulang kali mengheretnya kembali, tidak mematahkan semangat juang perwira elit komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan PAP (FKL) Michael Coccon Johen.
Lebih mencabar, usaha Michael untuk berenang menuju ke pulau selepas tersasar ketika latihan turut tidak berhasil apabila arus dan gelombang menyebabkan kedudukannya kekal tidak berubah.
Anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) itu berkata, beliau bagaimanapun tidak panik sebaliknya terus memikirkan cara untuk bertahan sementara menunggu bantuan tiba.
“Saya menggunakan kompas untuk menentukan arah ke pulau dan cuba berenang dalam keadaan laut bergelora tahap empat, namun apabila menyedari kedudukan saya masih tidak berubah, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan berehat bagi mengelakkan keletihan.
“Ombak yang kuat menyebabkan saya tertelan air laut beberapa kali dan saya kemudian menggunakan topi keledar untuk menutup muka ketika tidur supaya tidak terus tertelan air laut,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat N2 Tasik Biru, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menceritakan pengalaman getir selepas tersasar daripada lokasi pendaratan ketika menjalani latihan penerjunan bebas di Pulau Layang-Layang pada 12 Ogos lalu.
Michael berkata, selepas terjaga kira-kira jam 7 pagi pada 13 Ogos, keadaan sudah terang menyebabkan cahaya dari pulau yang sebelum itu menjadi panduan tidak lagi kelihatan.
Katanya, harapan untuk diselamatkan muncul apabila beliau ternampak sebuah kapal TLDM tidak lama kemudian.
“Saya cuba berenang ke arah kapal itu namun terpaksa mengambil keputusan untuk berehat semula kerana menyedari jaraknya masih terlalu jauh.
“Bimbang kapal tersebut terus bergerak dan tidak lagi berada berhampiran saya, saya membuka jaket keselamatan dan mengikatnya di pinggang sebelum terus berenang ke arah kapal,” katanya.
Usahanya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya dikesan dan diselamatkan oleh anak kapal TLDM.
Michael merupakan antara enam anggota komando TLDM yang tersasar daripada lokasi pendaratan dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perubahan cuaca secara tiba-tiba sehingga menjejaskan jarak penglihatan.
Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 5 petang, dengan lima anggota lain berjaya ditemui pada malam berkenaan, manakala Michael hanya dikesan pada keesokan harinya selepas operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Selepas diselamatkan, Michael diberikan rawatan asas, makanan dan peluang untuk berehat sebelum dibawa ke jeti dan seterusnya diterbangkan ke Kota Kinabalu.
Beliau kemudian menerima rawatan selama dua hari di Hospital Angkatan Tentera sebelum kembali ke Kuching. -EDISI UKAS