Pendidikan Bukan Sekadar Pencapaian Akademik, Pembentukan Karakter Murid Perlu Diutamakan
BINTULU: Kejayaan murid tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya pembentukan karakter dan nilai diri turut perlu diberi keutamaan dalam pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, integriti, tanggungjawab, kebijaksanaan, kesopanan dan ketahanan diri merupakan nilai penting yang perlu dibentuk sejak di bangku sekolah.
“Sejauh mana seorang anak mampu melangkah pada masa hadapan, selain pengetahuan dan kebolehan, turut bergantung kepada integriti, tanggungjawab, kebijaksanaan, kesopanan serta semangat untuk tidak mudah berputus asa apabila berdepan kesukaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pembinaan Karakter dan Majlis Perasmian Pintu Pagar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sibiew, di sini pada Rabu.
Menurut Johnny, pendidikan karakter mungkin tidak dinilai melalui peperiksaan, namun nilai yang diterapkan penting dalam membentuk keperibadian murid serta membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan murid supaya membina diri sebagai insan yang baik, menghormati guru, menyayangi ibu bapa serta saling membantu antara satu sama lain.
Katanya lagi, pembentukan karakter memerlukan kerjasama berterusan antara sekolah dan keluarga menerusi bimbingan, sokongan serta teladan yang baik. -EDISI UKAS