Isu, Pandangan Peniaga Kecil Bintangor Diberi Perhatian
SARIKEI: Isu dan cabaran yang dihadapi peniaga kecil di Pasar Tamu dan Pusat Penjaja Bintangor akan diteliti bagi mengenal pasti tindakan susulan yang bersesuaian, termasuk perkara di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pandangan serta permasalahan peniaga perlu didengar secara langsung bagi membolehkan penyelesaian yang praktikal dilaksanakan.
“Saya faham para penjaja di sini mencari rezeki setiap hari dan berdepan dengan pelbagai cabaran. Apa yang penting adalah kita turun padang untuk mendengar sendiri masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mesra dan tinjauan di Pasar Tamu dan Pusat Penjaja Bintangor, pada Rabu.
Menurutnya, perkara di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) akan diberi perhatian sewajarnya, manakala isu yang memerlukan peruntukan khas atau tindakan agensi lain akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Kerajaan mahu memastikan pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada projek besar, tetapi turut memberi manfaat terus kepada rakyat yang menjalankan perniagaan kecil,” katanya.
Dalam tinjauan itu, peniaga turut menyampaikan pandangan dan permasalahan berkaitan kemudahan infrastruktur serta operasi harian di kawasan berkenaan.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi tempatan, justeru kemudahan serta persekitaran perniagaan yang selamat dan teratur perlu terus diberi perhatian.
Turut hadir, Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi MDMJ, Wee Teck Min. -EDISI UKAS