Hari Kebangsaan: Menjunjung Rukun Negara, Menyemarak Semangat Patriotisme
Mukadimah
Ogos datang lagi. Pada bulan keramat ini pada setiap 31 Ogos saban tahun, kita rakyat Wilayah Sarawak dan Sabah akur menyambutnya sebagai Hari Kebangsaan, simbol menghormati ikrar kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Lewat pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963 Wilayah Sarawak dan Sabah berjaya merealisasikan gagasan penubuhan sebuah negara bangsa bernama Malaysia bersama-sama dengan Wilayah Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963, dan menjadikan tarikh itu sebagai Hari Malaysia.
Naratif menghayati sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini biarlah diberi penekanan tentang pengukuhan jati diri, perpaduan dan kecintaan terhadap ibu pertiwi, diiringi dengan doa agar Malaysia terus berupaya mendepani apa jua bentuk cabaran yang mendatang, serta berupaya menghala ke masa depan yang terus maju dan makmur, insya-Allah.
Makna Kemerdekaan
Sewajarnya kita raikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai wadah yang dijadikan sebagai satu kesempatan untuk merenung kembali makna kemerdekaan. Kerana kemerdekaan bukan sekadar pembebasan daripada penjajahan, tetapi suatu amanah untuk membina negara bangsa yang berdaulat, adil, makmur dan dihormati.
Generasi hari ini mewarisi sebuah Malaysia yang dibangunkan melalui pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu. Oleh itu, tugas generasi kini ialah memastikan warisan tersebut dipelihara dan diperkukuh untuk generasi akan datang.
Sudah tentulah, kita tidak ingin mewariskan kepada generasi penerus sebuah Malaysia yang porak-poranda, kerana kita tidak ingin generasi baharu nanti bertindak untuk meludah sejarah akibat kesilapan generasi kita.
Dunia di hadapan kita bergerak mengikut rentak waktu, serta bergolak mengikut zaman yang berubah-ubah, kadang kala dalam kecanggihan yang menuntut daya tafsiran dan penerimaan yang kreatif dan inovatif; kadang kala dalam ketidaktentuan yang sukar untuk dimengerti dengan semudahnya.
Merdeka yang sebenar ialah apabila kemerdekaan negara diiringi kematangan rakyat dalam menghayati tanggungjawab sebagai warganegara.
Tanggungjawab bermakna menghindari dari membelenggukan diri kita dengan ketaksuban berpolitik sempit, sebaliknya mengutamakan keselamatan dan kemajuan negara agar rakyat dapat hidup dalam aman dan makmur.
Pelbagai bentuk ranjau duga dan duri uji telah kita lalui dalam alur penubuhan Malaysia, dan kita bersyukur akhirnya berjaya juga Malaysia diwujudkan sehingga ke hari ini.
Rukun Negara
Eloklah kita jadikan lima prinsip Rukun Negara sebagai pedoman kehidupan bernegara. Janganlah ia sekadar lafazan yang diulangi pada setiap ketika sambutan rasmi sahaja. RUKUN NEGARA Kepercayaan kepada Tuhan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Keluhuran Perlembagaan Kedaulatan Undang-undang Kesopanan dan Kesusilaan
Hayati semula lima prinsip yang merupakan asas pembentukan masyarakat Malaysia yang bersatu, berdisiplin dan saling menghormati.
Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum, berbeza agama, pelbagai budaya, dan terpisah wilayah oleh Laut China Selatan, Rukunegara menjadi salah satu titik temu bersama.
Semangat Neksasionalisme
Nasionalisme dalam konteks moden bukanlah semangat yang menolak bangsa atau negara lain, tetapi kecintaan yang mendorong rakyat mempertahankan keamanan, menghormati kepelbagaian, serta menjunjung kedaulatan negara.
Bersama-samalah rakyat Malaysia menyumbang kepada kemajuan tanah air.
Semangat nasionalisme Malaysia hendaklah bersifat inklusif, berteraskan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia dan menghormati kedudukan serta hak Sarawak dan Sabah dalam kerangka Malaysia.
Semangat patriotisme tidak seharusnya hanya muncul apabila Jalur Gemilang dikibarkan atau hanya ketika lagu kebangsaan dinyanyikan. Ia perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, melalui sikap menghormati undang-undang, menjaga keharmonian, menolak ekstremisme, menghargai kepelbagaian serta melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
Dalam kerangka ini, nasionalisme perlu bergerak daripada emosi kepada tindakan.
Mencintai negara bererti bekerja dengan amanah, menolak rasuah, menjaga alam sekitar, menghormati perbezaan, meningkatkan ilmu dan kemahiran, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Patriotisme yang sebenar tidak hanya diukur melalui kata-kata, tetapi melalui kesanggupan seseorang melakukan yang terbaik untuk negaranya.
Penutup
Dalam kita menjunjung Rukun Negara, hayatilah inti pati kelima-lima prinsip itu. Ketika kita menyemarak semangat nasionalisme, hayatilah asas pembentukan negara.
Sesudah menyerapi segala inti pati, perbaharuilah tekad untuk mempertahankan perpaduan serta kedaulatan Malaysia.
Cintakan kepada negara bukan bermakna kita tidak boleh mengkritik, sebaliknya tegurlah sebarang kelemahan, tetapi lakukanlah dengan penuh tanggungjawab, kerana mengkritik secara membina juga merupakan satu bentuk patriotisme.