SKAS Bantu Ringankan Beban Kewangan Golongan Berpendapatan Rendah
BINTULU: Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dilihat sebagai satu inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata program berkenaan memberi manfaat kepada golongan yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta kumpulan lain yang layak.
Menurutnya, bantuan SKAS turut melibatkan isi rumah, golongan bujang dan warga emas.
“Program bantuan keperluan asas Sarawak ini amat penting, khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah kerana ia membantu meringankan beban kewangan rakyat.
“Saya percaya semua yang layak telah dimasukkan dalam program ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) DUN N.70 Samalaju di Econsave Kidurong pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan program berkenaan yang disifatkannya sebagai satu inisiatif yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Majang berkata, pelaksanaan SKAS membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.- EDISI UKAS