Pembangunan Gunung Bronang Singai Buka Potensi Ekonomi Komuniti
BAU: Cadangan pembangunan kemudahan pelancongan di Gunung Bronang Singai menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching (GKCDA) akan dilaksanakan dengan mengambil kira sokongan dan persetujuan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, pembangunan berkenaan berpotensi meningkatkan daya tarikan Gunung Bronang sebagai destinasi pelancongan, sekali gus membuka peluang sosioekonomi kepada penduduk sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menjelaskan, antara komponen penting yang dicadangkan ialah pembinaan jalan sepanjang lapan kilometer bagi meningkatkan akses ke kawasan berkenaan.
“Projek ini akan dapat menarik kehadiran pelancong ke Gunung Bronang, sekali gus memberi nilai sosioekonomi kepada penduduk.
“Di samping itu, pembinaan kemudahan jalan sepanjang lapan kilometer juga akan meningkatkan hubungan ke kawasan pelancongan tersebut, selain membuka kawasan bagi aktiviti pertanian dan pembinaan kediaman baharu penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk di Dewan Serbaguna Kampung Daun Singai, di sini pada Isnin.
Sesi dialog itu diadakan bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan penduduk terhadap cadangan pembangunan berkenaan, selain memberi penjelasan mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan oleh komuniti.
Dalam sesi berkenaan, pihak perunding menjelaskan bahawa pelaksanaan projek itu tidak akan melibatkan penebangan pokok atau pembersihan hutan yang boleh menjejaskan ekosistem asal kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air kepada penduduk.
Pada masa sama, Gunung Bronang yang mempunyai nilai warisan alam semula jadi dan potensi pelancongan turut dicadangkan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.
Cadangan berkenaan dilihat sebagai antara usaha memelihara khazanah hutan semula jadi kawasan itu tanpa menjejaskan hak pemilikan tanah penduduk setempat.
Antara skop pembangunan yang dicadangkan termasuk penyediaan laluan kembara, laluan kenderaan menuju ke puncak, anjung tinjau, naik taraf landskap kawasan air terjun, tandas dan bilik persalinan, pusat maklumat serta kemudahan tempat letak kenderaan.-EDISI UKAS