Rakyat Betong Diseru Manfaat Diskaun Jualan Rahmah Madani
BETONG: Penduduk di kawasan Betong diseru memanfaatkan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang menawarkan diskaun sehingga 20 peratus bagi barangan keperluan harian.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, program tersebut dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada barangan asas pada harga lebih rendah.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman telah mengadakan Jualan Rahmah Madani bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Jadi KPDN Cawangan Sri Aman bekerjasama dengan rakan strategik iaitu Pasar Serbaneka Keluarga Betong untuk mengadakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan,” katanya ketika ditemui media.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan simbolik perasmian PJRM bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Pasar Serbaneka Keluarga Betong, pada Selasa.
Menurutnya, kerjasama antara KPDN dan rakan strategik perlu diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan program dapat diperluaskan kepada lebih ramai penduduk.
Dalam pada itu, Dato Dr Richard berkata, inisiatif Jualan Rahmah Bergerak turut membantu meningkatkan akses penduduk luar bandar dan pedalaman kepada barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran tempatan.
Beliau turut melakukan sesi walkabout bagi meninjau pelaksanaan program serta memeriksa bekalan beras, ayam dan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan stok mencukupi sepanjang jualan berlangsung.
PJRM bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Parlimen Betong dianjurkan oleh KPDN Cawangan Sri Aman dengan kerjasama Pasar Serbaneka Keluarga Betong selama dua hari, bermula 1 hingga 2 September, dari jam 9 pagi hingga 2 petang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan KPDN Cawangan Sri Aman, Argentina Jala, Penyelia Pasar Serbaneka Keluarga Betong, Su Yan Ling dan Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang. - EDISI UKAS