Pembenihan Awan Sarawak Dipertimbang Antara 3 Hingga 5 September
KUCHING: Operasi pembenihan awan di Sarawak sedang dipertimbang untuk dilaksanakan antara 3 hingga 5 September ini bagi membantu meningkatkan paras air empangan susulan jangkaan cuaca panas dan kering berpanjangan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kini sedang menilai keadaan cuaca yang sesuai bagi operasi berkenaan, manakala mesyuarat pada 1 September akan menentukan kesesuaian pelaksanaannya.
“Susulan jangkaan keadaan cuaca kering, Sarawak Energy dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah memohon supaya operasi pembenihan awan tambahan dilaksanakan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
“JPBNS juga telah memohon sokongan tambahan bagi operasi pembenihan awan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Julai lalu.
“Bagaimanapun, keadaan cuaca semasa masih belum menghasilkan pembentukan awan yang sesuai untuk pelaksanaan operasi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh JPBNS pada Rabu.
Jelasnya, menurut Sarawak Energy, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan pada 11 dan 12 Mei, 19 dan 20 Jun, serta 21 Jun lalu memberi kesan positif terhadap paras air empangan.
Dalam pada itu, MetMalaysia memaklumkan fenomena El Niño dijangka semakin ketara di Sarawak antara Oktober hingga Disember 2026 dan berkemungkinan berterusan sekurang-kurangnya sehingga April 2027, selain berpotensi mencecah tahap ‘Super El Niño’ antara September 2026 hingga Januari 2027.
Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan, persediaan awal penting bagi menghadapi kemungkinan cuaca kering berpanjangan serta kesannya terhadap paras air.
Katanya, JPBNS akan terus memantau perkembangan semasa dan menyelaras langkah mitigasi serta tindakan susulan bersama agensi berkaitan. -EDISI UKAS