Sarawak Bercadang Tubuh Pusat Pemulihan Dadah Kendalian Kerajaan Negeri
KUCHING: Sarawak bercadang untuk menubuhkan pusat pemulihan dadah kendalian kerajaan negeri bagi menambah kapasiti rawatan dan pemulihan sekali gus memastikan kemudahan sedia ada kekal kondusif untuk penghuni.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu merupakan antara usaha memperkukuh pendekatan pemulihan di negeri ini.
Menurutnya, kapasiti pusat pemulihan sedia ada perlu diurus dengan baik dan tidak dibebankan sehingga menjejaskan persekitaran yang diperlukan untuk proses rawatan.
“Kita tidak boleh mengenepikan perkara ini kerana masalah sosial akibat dadah memang wujud dan ianya berlaku di mana-mana negara. Kita tidak boleh mengatakan bahawa perkara ini bukan masalah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Rabu.
Dato Sri Abdul Karim berkata pusat pemulihan tidak seharusnya dilihat sebagai tempat tahanan semata-mata kerana matlamat utamanya adalah untuk membantu individu terbabit menjalani rawatan sebelum kembali kepada kehidupan bermasyarakat.
“Kita tidak mahu ia menjadi seperti penjara. Ini pusat pemulihan dan mereka mesti berada dalam persekitaran yang sesuai kerana akhirnya kita mahu mencapai kejayaan dalam proses pemulihan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata cadangan penubuhan pusat baharu kendalian Kerajaan Sarawak akan diperhalusi dari segi bentuk pengurusan dan operasinya sebelum dibawa untuk pertimbangan lanjut.
Katanya, pusat berkenaan dicadangkan menggunakan pendekatan inklusif tanpa berasaskan mana-mana agama bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata Sarawak kini mempunyai sebuah pusat pemulihan dadah di Puncak Borneo, manakala dua pusat pemulihan persendirian di Miri dan Sibu sedang dalam proses pendaftaran dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Beliau berkata usaha memperkukuh kapasiti pemulihan perlu bergerak seiring dengan pencegahan dan penguatkuasaan menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara lebih menyeluruh.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa mewakili Ketua Pengarah AADK, Olivia Ogor dan Pengarah AADK Negeri Sarawak merangkap Setiausaha MTMD, Abdul Hamediee Ibrahim. -EDISI UKAS