KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) di Petra Jaya, di sini, pada Rabu.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah pada jam 2.30 petang disambut mesra oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn bersama isteri, Datin Sri Kelly Rebid, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed, Pengarah Urusan SSCiEX, Ts Dr Peter Morin Nissom serta Ahli-Ahli Lembaga SSCiEX serta ketua-ketua jabatan.
Lawatan selama kira-kira sejam itu memberi peluang kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri meninjau kemudahan serta pelbagai pengalaman interaktif yang ditawarkan di pusat berkenaan.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut berkesempatan menyantuni beberapa pengunjung yang hadir.
Pusat Sains Sarawak, yang turut dikenali sebagai Sarawak Science Centre Interactive Experience, merupakan pusat sains interaktif berskala besar pertama di Sarawak.
Pusat berkenaan dibangunkan bagi memperkukuh minat masyarakat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan pengalaman.
Fasa pertama pusat tersebut kini dibuka kepada orang awam melibatkan Aras Bawah dan Aras 1 yang menampilkan pelbagai zon interaktif termasuk galeri dinosaur animatronik, pameran fizik dan sains bumi, permainan air serta ‘mirror maze’.
Apabila siap sepenuhnya, SSCiEX dirancang menempatkan 22 galeri bertema dan lebih 400 pameran interaktif, sekali gus menjadi antara kemudahan penting dalam memperkasa pendidikan STEM di Sarawak selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). -EDISI UKAS